
Ambeng akan disediakan dalam beberapa jenis menu. Antaranya ialah mee goreng, daging rendang, sambal goreng dan pelbagai jenis lauk lain yang berbeza mengikut cita rasa tuan rumah masing-masing.

Nasi putih yang masih panas akan diletakkan di dalam dulang. Di atasnya akan dilapikkan dengan daun pisang (yang dipotong bulat mengikut ukuran dulang). Di atas daun pisang tersebut akan diletakkan beberapa jenis lauk.

Setelah bacaan tahlil selesai, dulang yang berisi ambeng akan diedarkan bersama dengan bungkusan kertas dan daun pisang untuk dibahagikan. Biasanya, satu dulang akan dibahagikan kepada empat atau lima orang. Seorang ketua akan membahagikan ambeng tersebut dan dibungkuskan untuk dibawa pulang.

Pertama kali melihat cara penyediaan ambeng ini memang menimbulkan pertanyaan. Agak pelik juga melihat tetamu hanya minum air sahaja dan kemudian membasuh tangan untuk membungkuskan ambeng untuk dibawa pulang ke rumah dan dimakan bersama keluarga.
Keistimewaan nasi ambeng ini, semua makanan yang dihidangkan akan habis dibungkus pulang manakala tuan rumah pula tidak perlu membasuh banyak pinggan mangkuk…